Masalah Air Di Selangor : Sampai Bila?

Masalah Air Di Selangor : Sampai Bila? | Kerap betul terbaca keluhan, rasa tak puas hati rakyat Selangor berdepan dengan masalah gangguan bekalan air. Ada yang pasrah, ada yang marah dan ada yang dah tak tahu nak mengadu kat mana lagi. Paling naya bila hadap situasi gangguan bekalan air tanpa amaran. Tak ada notis, buka paip, air tak keluar. Stress!



Gangguan Bekalan Air Berulang-Ulang

Dari zaman SYABAS dulu lagi rakyat dah biasa dengan istilah "jadual catuan air". Harapan rakyat kembali menyala bila SYABAS diambil alih dan dijenamakan semula jadi Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd). 

Tapi sayangnya, selepas bertahun-tahun dan walaupun CEO baru dah dilantik tahun lepas, masih tak nampak jalan penyelesaian jangka panjang.

Apa gunanya penjenamaan semula dan bertukar pengurusan, bertukar CEO tapi masalah masih sama?

Masalah air ni bukan baru terjadi setahun dua. Dah bertahun-tahun jadi isu, tapi tetaplah masalah air berulang-ulang. Sampai bila rakyat Selangor nak hadap benda yang sama? Rakyat bukan minta lebih, cuma nak keperluan asas disediakan dengan baik.


Macam Mana Nak Teruskan Aktiviti Seharian?


Memang sangat-sangat menyusahkan bila air tak ada tanpa ada sebarang amaran. Benda macam ni bukan boleh dibuat main, sebab air tu keperluan asas. Dari sekecil hal seperti nak cuci tangan sampai sebesar hal nak uruskan keluarga dan kerja harian. Bila buka paip, air tak keluar, satu rumah terus huru-hara.

Bayangkan kalau ada anak kecil, orang sakit, atau warga emas, mereka ni sangat bergantung kepada perlunya ada air setiap masa. Belum masuk bab nak masak, nak basuh baju, nak bersihkan rumah, nak keluar bekerja, anak nak ke sekolah nak kena mandi. Semua tergendala!


Krisis Air di Selangor

Gangguan Bekalan Air yang Berterusan

Pada 23 Julai 2024, Air Selangor menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan tujuh kawasan utama termasuk Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor. Gangguan ini berpunca daripada pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa dihentikan sementara. 

Ini bukan kali pertama berlaku. Malangnya, masih berulang-ulang seolah-olah tiada penyelesaian. Persoalannya, kenapa pencemaran sungai masih berlaku?

Isu Komunikasi dan Kepercayaan Pelanggan

Pada Julai 2024, Air Selangor mengeluarkan tanda merah kepada pelanggan yang mempunyai bil tertunggak, menunjukkan kemungkinan pemotongan bekalan air. Namun, beberapa pelanggan mendakwa bahawa kod QR pada tanda tersebut membawa mereka ke laman sesawang penipuan (phishing), menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan transaksi pengguna. 

Walaupun Air Selangor menjelaskan bahawa tanda itu sah dan membawa pelanggan ke laman pembayaran rasmi, isu ini menunjukkan kelemahan dalam komunikasi dan pengurusan maklumat pelanggan.

Kestabilan Kepimpinan dan Pertikaian Dalaman

Bekas CEO Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman, meletakkan jawatan pada Disember 2022 dikatakan berpunca daripada perselisihan dengan kerajaan negeri mengenai pelarasan tarif air. 

Sekiranya isu sama berulang di bawah kepimpinan CEO baharu, ia boleh dijadikan petunjuk ketidakstabilan pengurusan dalam Air Selangor.

Kemapanan Kewangan dan Pelarasan Tarif

Di bawah kepimpinan Adam Saffian, CEO baharu Air Selangor, telah mencadangkan peningkatan pelaburan swasta untuk memperkukuhkan infrastruktur air, dengan alasan permintaan yang semakin meningkat serta tarif sedia ada yang tidak mencukupi untuk menampung kos operasi. 

Adakah ini akan membawa kepada kenaikan tarif air? Dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, kenaikan tarif akan menjadi beban tambahan kepada rakyat.

Cabaran Alam Sekitar dan Operasi

Kejadian gangguan bekalan air yang berpunca daripada pencemaran menunjukkan kelemahan dalam perlindungan sumber air dan keupayaan Air Selangor dalam mengawal pencemaran.

Bukan sekali dua gangguan bekalan air berpunca daripada pencemaran. Rakyat mula tertanya-tanya kenapa insiden sama boleh berulang? Kenapa tiada tindakan selepas setiap krisis?

Pencemaran yang menjejaskan loji air rawatan menunjukkan kelemahan dalam penguatkuasaan sekaligus membuka ruang untuk pencemaran terus berlaku.

Ketidaktelusan dalam Pengurusan Air

Kurang ketelusan dalam menangani isu pencemaran, agihan bekalan dan pelarasan tarif boleh menjejaskan kepercayaan rakyat. Kelewatan maklumat gangguan air hanya menguatkan persepsi bahawa Air Selangor cuba menyembunyikan kelemahan atau tidak bertanggungjawab terhadap masalah sebenar.

Ketidakseimbangan Perkhidmatan 



Ini juga antara isu yang diperkatakan. Ketidakseimbangan  penyediaan bekalan air antara kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan kawasan luar bandar seperti Hulu Selangor.  Ini menimbulkan tanda tanya kenapa Air Selangor gagal dalam memastikan keadilan dalam pengagihan sumber air.


Sampai Bila?

Masalah air di Selangor bukan lagi isu baru. Cukuplah rakyat menjadi mangsa kepada kelemahan pengurusan, pencemaran yang berulang dan kegagalan sistemik yang tak kunjung selesai. 

Air adalah hak asas setiap manusia, bukan satu keistimewaan yang boleh ditarik bila-bila masa. Sampai bila rakyat Selangor perlu bersabar? Sudah tiba masanya pihak berwajib tampil dengan solusi tuntas, bukan lagi alasan.




Yaya Azura

Yaya | Blogger Since 2010 | Email : yayaazura82@gmail.com

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post