Cerita Tentang Wazif dan UPKK

Assalamualaikum dan hai semua.

Hari ni Yaya nak kongsi satu momen yang sangat bermakna buat diri ini sebagai seorang ibu. Bukan untuk berbangga-bangga, tapi lebih kepada nak meraikan satu detik manis dalam perjalanan membesarkan Wazif.

Sekadar nak simpan kenangan manis. Kenangan yang buat hati rasa penuh dengan rasa syukur.  

Kadang kita ni terlalu fokus pada hari-hari sibuk sampai terlupa nak hargai saat-saat yang kecil tapi penuh makna. Jadi entri ni adalah hadiah kecil untuk diri sendiri dan untuk anak ibu, Wazif

Detik Yang Ditunggu-Tunggu



Sebelum ada ni Yaya ada kongsikan momen ketika hari-hari menjalani peperiksaan UPKK.  Rasa macam baru je habis peperiksaan. Baru-baru ni keputusan UPKK dah diumumkan. Sebagai ibu, Yaya tak nafikan ada juga debar dalam hati. Walaupun Yaya cuba untuk tak terlalu meletakkan tekanan, tapi perasaan ingin lihat anak berjaya tu memang ada. 

Yaya tak letak harapan yang terlalu tinggi pun. Bukan sebab tak percaya pada anak sendiri, tapi lebih kepada Yaya tahu macam mana rutin harian Wazif, tahu dia usaha macam mana dan Yaya percaya setiap usaha tu ada ganjarannya . Walaupun tak semestinya dalam bentuk A.

Yaya tahu Wazif dah berusaha sebaik mungkin. Buat latihan dan ulangkaji tanpa pernah jemu. Tanpa sebarang keluhan. 

Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2024 diumumkan boleh disemak pada 20 Mac 2025 (Khamis) bermula jam 12.00 tengah hari. Bermula dari penguman dari JAKIM ini, Yaya beberapa kali sembang santai, ingatkan Wazif mengenai ketetapan dan ketentuan Allah. (Qada dan Qadar) 

Bukan apa, Yaya bimbang dia terlalu yakin memandangkan keputusan percubaan UPKK pun berjaya mendapat semua A. Bagaimana kalau keputusan sebenar ada matapelajaran yang kecundang?

Ibu: Kalau adik dapat 8A 1B, atau 7A 2B, atau ada dapat C macam mana?  
Wazif : Tak apalah ibu, adik dah usaha. Adik terima je berapa rezeki Allah bagi.

Memang Yaya lega sangat bila dengar jawapan Wazif. Sekurang-kurangnya Yaya tahu dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

Tiba tarikh yang ditungu-tunggu. Kami sepakat nak semak keputusan bersama-sama setelah Wazif pulang dari sekolah. Tetapi waktu semakan telah diawalkan ke jam 10.30 pagi. Yaya dah tak keruan di pejabat. Rasa serba tak kena. 

Apabila kenalan guru bagi tahu Wazif nak semak sendiri keputusan UPKK di bilik guru bersama-sama rakan-rakan seperjuangan, perasaan Yaya sedikit lega. Sebabnya Yaya boleh terus semak di pejabat tepat jam 10.30 pagi. Tak adalah menanggung resah gelisah sampai ke tengah hari.

Semestinya Yaya tahu dulu keputusan sebelum Wazif.

Alhamdulillah, Wazif cemerlang. Keputusan diumumkan dan Wazif dapat 9A, Subhanallah... rasa syukur tu tak terkata.

Tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan tu bila tengok slip keputusan. Terus senyum panjang. Mata pun bergenang sikit (eh, sikit je tau!).


Bila Usaha Berbaloi

Keputusan ni bukan tentang angka semata-mata. Tapi lebih kepada proses yang dilalui sebelum sampai ke situ. Cara Wazif urus tekanan, cara dia kawal emosi bila rasa tak yakin, dan cara dia masih kekal hormat dan mesra walaupun letih belajar. Tak pernah dia mengeluh bila diingatkan untuk ulangkaji. Itu semua yang buat Yaya bangga.

Ada beberapa kali, dia datang peluk Yaya dan kata,

"Ibu doakan adik boleh buat yang terbaik dan dapat 9A ya untuk UPKK."

Waktu tu hati ibu rasa sebak sangat. Sebab dalam diam, anak kecil ni tahu dia perlukan doa dan sokongan dari ibu. Semua tu dah cukup buat hati Yaya rasa, "MasyaAllah, anak ibu ni dah besar."

UPKK mungkin bukan penentu segalanya. Tapi bagi Yaya, ini satu permulaan yang manis. Satu langkah kecil dengan usaha yang besar. InsyaAllah jadi pembuka jalan untuk perjalanan ilmu yang lebih jauh nanti.



Momen Yang Akan Disimpan Selamanya



Wazif sewaktu menerima sijil kecemerlangan 9A UPKK . Momen yang akan ibu simpan dalam hati selamanya.



UPKK Bukan Penamat, Tapi Permulaan

Alhamdullah dan tahniah, 41 orang berjaya mendapat 9A.



Bergambar bersama Guru Besar.


UPKK ni bukanlah penamat segalanya. Ianya satu permulaan. Satu latihan kecil untuk hadap cabaran-cabaran yang lebih besar di hadapan. Dunia pendidikan anak-anak hari ni makin mencabar, dan ibu tahu perjalanan Wazif masih panjang.

Tapi hari ni, Yaya nak biarkan kejayaan kecil ini diberi ruang untuk diraikan. Kerana setiap kejayaan, sekecil mana pun, layak untuk diraikan bila ada usaha di sebaliknya.


Terima Kasih, Ya Allah

Semuanya datang dari Allah. Segala kemudahan, kekuatan dan keberkatan dalam setiap langkah Wazif. Yaya juga sedar, ibu bapa cuma penunjuk jalan ,yang pegang hati dan ilmu anak-anak itu adalah Allah.

Ibu bangga sangat dengan kamu. Teruskan jadi anak yang baik, yang rendah hati, yang kuat semangat. Keputusan hebat hari ni adalah hasil kerja keras kamu sendiri. Ibu akan sentiasa ada di belakang kamu, doa tak pernah putus.



Terima kasih ya Allah, untuk anugerah dan rezeki ini. Terima kasih sebab beri peluang rasa bangga dan bahagia yang begini.




@yayaazura_ Alhamdulillah.. ❤️ #upkk2024 #resultupkk ♬ Thank You Allah - Maher Zain


P/s: Kepada semua ibu ayah yang sedang membesarkan anak-anak, kita semua dalam kapal yang sama. Kadang naik, kadang turun. Tapi selama kita ada doa, sokongan dan kasih sayang, anak-anak kita akan rasa cukup untuk terus maju ke depan. Tahniah kepada semua yang ambil UPKK, tak kira apa keputusan sekali pun. Yang penting, kita semua sama-sama sedang membesarkan permata hati yang sedang belajar jadi insan.
Yaya Azura

Yaya | Blogger Since 2010 | Email : yayaazura82@gmail.com

1 Comments

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

Post a Comment
Previous Post Next Post