Niat Puasa Ganti

Niat Puasa Ganti  | Tahun ni berazam nak selesaikan awal puasa ganti. Dah selesai enam hari puasa ganti di bulan Syawal, sekali harung dengan puasa sunat Syawal lah tu. Semoga baki yang ada ni dapat diselesaikan awal. Rasa tenang sikit hidup ni tak ada hutang. Bukan hutang wang ringgit je tau membelenggu diri. Tapi ni hutang dengan Allah memang menghantui juga. Hihi. Insya Allah cepat-cepat kita kita selesaikan. 

Kali ni Yaya nak kongsikan cara lafaz niat puasa ganti. Bagi kita yang dewasa ni apa sangat la kan dengan niat puasa ni. Setiap tahun pun niat puasa ganti ni. Tapi pembaca blog ni ada pelbagai lapisan usia. Semoga menjadi rujukan kepada anak-anak yang baru meningkat remaja yang mungkin timbul perasaan was-was mengenai niat puasa setiap kali nak puasa ganti.


Lafaz niat puasa ganti Ramadan


Siapakah yang diwajibkan untuk ganti puasa?

Qadha puasa atau ganti puasa Ramadan boleh dilakukan seawal 2 Syawal sehinggalah sebelum masuk Ramadan pada tahun berikutnya.

Jika gagal melakukan puasa ganti sepanjang tempoh tersebut, maka  diwajibkan untuk membayar fidyah.

Golongan yang diwajibkan untuk menggantikan puasa (qadha) adalah seperti berikut: 

  1. Orang yang sengaja meninggalkan puasa tanpa sebab
  2. Orang sakit yang ada harapan sembuh.
  3. Orang yang bermusafir (bukan kerana maksiat) melebihi dua marhalah.
  4. Orang yang kedatangan haid dan nifas.
  5. Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan.
  6. Orang yang sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  7. Orang yang pitam/mabuk sewaktu bulan Ramadhan.
  8. Orang yang sangat lapar dan dahaga yang tidak membolehkannya berpuasa pada bulan Ramadan.


Lafaz niat puasa ganti Ramadan

Tuntutan berniat ialah dengan berniat di dalam hati. Adapun hukum melafazkan niat dengan lisan adalah sunat supaya dapat membantu untuk menetapkan niat di dalam hati.

Lafaz niat bagi puasa ganti yang lengkap ialah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّه تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadan kerana Allah SWT.


Waktu untuk niat puasa ganti

Menurut mazhab al-Syafie, disyaratkan seseorang untuk berniat di waktu malam bagi puasa ramadan dan puasa fardu yang lain seperti puasa ganti. Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Muqadimah al-Hadramiah bahawa:

الأول: النية لكل يوم. ويجب التبييت في الفرض دون النفل، فتجزئه نيته قبل الزوال، ويجب التعيين أيضًا دون الفرضية في الفرض

Maksudnya: (Rukun puasa) Pertama: Niat bagi setiap hari puasa. Diwajibkan untuk berniat pada waktu malam bagi puasa fardu dan tidak bagi puasa sunat. Sah niat tersebut jika diniatkan sebelum tergelincir matahari. Di samping itu, diwajibkan untuk ta’yin (menentukan jenis puasa seperti puasa Ramadan), tanpa diwajibkan untuk menyebut fardu bagi puasa fardu.

Jadi, diwajibkan untuk berniat bagi puasa fardu pada waktu malam, manakala bagi puasa sunat boleh untuk berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari jika sekiranya tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.


Baca juga : Hukum Mewarnakan Rambut Dengan Warna Hitam



Boleh ke niat puasa ganti sekali dengan puasa sunat


Sebahagian kecil fuqaha berpandangan bahawa kita boleh melakukan puasa ganti sekaligus dengan puasa sunat yang lain. Kita akan dapat dua-dua pahala (qadha dan sunat)

Jika  ingin menggabungkan puasa ganti Ramadan dengan puasa sunat yang lain, maka niatnya boleh dilafazkan dalam Bahasa Melayu sahaja atau dalam apa-apa bahasa yang difahami.

Hukumnya adalah harus.

Contohnya:


Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat hari isnin kerana Allah Taala.

atau

Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.



Hukum tidak membaca niat puasa ganti

Niat bagi puasa Ramadan dan puasa wajib yang lain (puasa qada dan nazar) hendaklah diniatkan pada malam hari berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW bahawa:


مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِن اللَيْلِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat untuk berpuasa (keesokan harinya) di malam hari, maka tidak sah puasanya. - Riwayat al-Nasaie (2334)

Jadi, hukum bagi mereka yang lupa untuk berniat untuk puasa ganti adalah tidak sah puasanya.


Kesimpulan

Puasa ganti adalah puasa yang wajib untuk kita selesaikan. Jom sama-sama kita habiskan puasa ganti ni dengan segera.

Jika cuai dan tidak mengqadha’nya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, dia berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkaunya.

فيمَنْ عليهِ صومٌ فَلم يَصُمْهُ حتّى أدركهُ رمضانُ آخَرُ، يُطعِمُ عنِ الأوَّلِ

Maksudnya : “Sesiapa yang ada puasa ganti, tetapi dia tidak menggantikannya lagi sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, hendaklah dia beri makan (fidyah) bagi yang awal (Ramadhan yang lepas)” [Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa athar-athar ini telah diriwayatkan oleh al-Darqutni dengan sanad yang sahih]


Yaya Azura

Yaya | Blogger Since 2010 | Email : yayaazura82@gmail.com

2 تعليقات

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

  1. dulu masa muda remaja selalu ambil masa nak ganti puasa tapi slowly buat Isnin dan Khamis dan dh jadi kebiasaan

    ردحذف
إرسال تعليق
أحدث أقدم