Surah Al Fatihah - Kelebihan Dan Cara Sedekah Ummu Kitab

Surah Al Fatihah -  Kelebihan Dan Cara Sedekah Ummu Kitab | Surah Al Fatihah diturunkan oleh Allah SWT hanya kepada Nabi Muhammad SAW.  Al-Fatihah merupakan surah yang pertama diturunkan dengan lengkap di antara surah-surah yang ada dalam Al-Quran.

Surah Al Fatihah yang diturunkan di kota Mekah ini mengandungi doa untuk memohon petunjuk dan kasih sayang kepada Allah SWT dan dijadikan panduan hidup bagi seluruh umat Islam.

Surah Al Fatihah berserta maksud rumi




Pengenalan Surah Al-Fatihah

  • Surah Al-Fatihah ialah Surah Makkiyah (diturunkan di Mekah).
  • Surah ini mengandungi tujuh ayat.
  • Surah ini dinamakan Al-Fatihah yang bermaksud pembukaan, kerana surah ini ialah surah yang pertama dalam Al-Quran.
  • Al-Fatihah juga dikenali sebagai ummu kitab.
  • Membaca surah Al-Fatihah adalah salah satu rukun solat, di mana ianya bermaksud kita membaca surah ini sebanyak 17 kali sehari semalam.
  • Satu kerugian sekiranya kita membaca surah Al-Fatihah tanpa menghayati isi kandungan surah tersebut.




Terjemahan Al-Fatihah dalam Bahasa Melayu


Terjemahan  Rumi Al Fatihah
1. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Terjemahan  Rumi Al Fatihah Ayat 2
2. Segala puji hanya bagi Allah, tuhan sekalian alam.


Terjemahan Rumi Al Fatihah Ayat 3
3. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Terjemahan Rumi Al Fatihah Ayat 4
4. Yang menguasai pemerintahan hari pembalasan (hari akhirat).


Terjemahan Rumi Al Fatihah Ayat 5
5. Engkaulah sahaja yang kami sembah dan kepada engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

 
Terjemahan Rumi Al Fatihah Ayat 6
6. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

 
Terjemahan Rumi Al Fatihah Ayat 7
7. Iaitu jalan orang yang engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang engkau telah murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.



11 Kelebihan Dan Fadilat Surah Al Fatihah


1. Membaca surat Al-Fatihah mendapat pahala seperti membaca sepertiga Al Quran .

2. Setiap satu ayat dari Al-Fatihah menjadi penutup satu pintu neraka.

3. Orang yang membaca Al-Fatihah seolah ia telah membaca kitab taurat, injil, zabur, Al Quran, suhuf idris As. dan suhuf Ibrahim As. sebanyak 7 kali.

4. Orang yang membaca Al-Fatihah seolah olah ia telah sedekahkan emas di jalan Allah SWT.

5. Amalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwudhu ‘ dan ditiupkan pada air lalu diminum selama tujuh hari. Insya Allah akan mudah memperoleh ilmu pengetahuan, di samping itu dapat membersihkan hati dari fikiran yang rosak.

6. Sesiapa membaca Al-Fatihah berserta Bismillah diantara Solat Sunat Subuh dan Fardhu Subuh dengan istiqamah, maka jika ia inginkan pangkat terkabullah ia dan kalau ia fakir maka akan kaya serta jika ia ada hutang maka akan mampu membayarnya dan kalau ia sakit maka akan sembuh serta kalau ia punya anak maka anaknya itu menjadi anak yang soleh, berkat surah Al-Fatihah.

7. Amalkan membaca Al-Fatihah saat hendak tidur, diikuti membaca Surah Al – Ikhlas tiga kali, Surah Al -Falaq dan Surah An – Nas , insya – Allah akan aman tentram dan terjauh dari gangguan setan.

8. Sesiapa mengamalkan bacaan Al-Fatihah sebanyak 20 kali setiap selesai solat fardhu lima waktu, maka Allah SWT luaskan rezekinya, baiki akhlaknya, mudahkan urusannya, hilangkan kesusahannya, anugerahkan apa yang diimpikan, dapat berbagai berkat dan kemuliaan, jadikan ia berwibawa, berpangkat luhur, penghidupan baik dan anak-anaknya pula terlindung dari kemudharatan dan kerosakan serta dianugerahkan kebahagiaan dan sebagainya.

9. Untuk membuka pintu rezeki yang luas dan mempermudah segala urusan hidup serta terhindar dari segala kesulitan, amalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali saat makan sahur malam. Insya Allah akan dimakbulkan Allah s.w.t.

10. Sesetengah ulama mengesyorkan membaca Al-Fatihah sebanyak 40 kali setiap kali selesai solat Maghrib dan solat sunat. Insya Allah hajatnya akan dikabulkan.

11. Sesiapa yang membaca ‘Al-Fatihah’ 1 kali di waktu hendak tidur, Surah ‘Al-Ikhlas’ sebanyak 3 kali dan ‘Mu’awwidzatain’ (Surah Al-Falaq dan surah An-Nas) 1 kali, sebelum tidur. Insya Allah maka ia akan terpelihara dan selamat daripada segala perkara dan ancaman seperti mimpi buruk, gangguan syaitan, kecurian, kebakaran dan malapetaka, selain daripada ajal.




Cara Sedekah Al-Fatihah Untuk Diri Sendiri

Hadiahkan atau sedekahkan Al-Fatihah kepada diri sendiri setiap hari boleh dilakukan setiapkali selepas solat. Tetapi lebih disarankan untuk dilakukan setelah bangun dan setelah selesai solat subuh.

1. Ucapkan salam kepada diri sendiri.
2. Lalu sebutlah nama diri sendiri secara lembut sebanyak tiga kali.
3. Kemudian sentuhlah dada kiri di mana tempatnya jantung berada di dalam tubuh sahabat Dream dengan menggunakan tangan kanan sembari mengucapkan “ Alhamdulillah”.
4. Kemudian ucapkan,

“ Aku menghadiahkan Al-Fatihah untuk diriku, zahir dan batinku sendiri. Yaa Allah, jaga, lindungi dan rawat hamba-Mu ini dari segala kebatilan. Limpahkanlah segala kebajikan dan rahmat yang kau miliki.”

5. Lalu bacakan surat Al-Fatihah untuk diri sendiri sebanyak satu kali.



Cara Sedekah Al-Fatihah Untuk Ibu Bapa

Sedekahkanlah doa dan al-fatihah kepada kedua ibu bapa kita yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Di alam barzakh segala nikmat duniawi sudah tidak bermakna lagi. Yang bernilai di sana hanya pahala yang dibawa atau yang dikirim dari kita anak-anak mereka. 

Jangan sesekali meninggalkan doa kepada kedua ibubapa. Allah akan memurahkan rezeki kepada mereka yang tidak putus-putus berdoa kepada kedua ibu bapa (hidup atau mati). Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah SWT.

Semasa berdoa, berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Tadah tangan dan bayangkan wajah kedua orang tua kita. Mereka yang lupa berdoa kepada kedua orang tua, akan disempitkan rezeki oleh Allah SWT.

Sedekahkan doa dan al-fatihah kepada kedua ibu bapa setiap kali selepas solat fardhu. 


Sabda Nabi SAW:


“ Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”



1. Mulakan dengan membaca doa kepada kepada kedua ibu bapa:


اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Rumi: Allahummagh firli zunubi wa li wa lidayya warhamhuma kama rabbayani soghiro

Maksud doa untuk ibu bapa: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Doa diatas ini dibacakan sekiranya bersendirian, jika dibacakan beramai-ramai, tukarkan kepada ini:


اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا

Rumi: Allahumma fighlana zunubana wa li wa lidaina warhamhuma kama rabbayana soghira

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”


2.   Baca al-fatihah dengan tenang dan tertib.


Cara Hadiahkan Al-Fatihah Yang Mendatangkan Pahala Yang Banyak


Cara hadiahkan al fatihah kepada orang lain




Mendoakan orang lain secara rahsia adalah amalan sunnah dan merupakan doa yang yang mustajab. Surah Al-fatihah yang mengandungi tujuh ayat ini juga merupakan doa yang boleh dihadiahkan kepada seluruh muslimin dan mukminat. Sisipkan juga hadiah al fatihah buat mereka yang masih hidup atau yang telah tiada di dunia ini.

Bayangkan doa kita telah sampai ke seramai umat manusia yang tak terkira. Setiap kali kita mendoakan saudara kita dengan kebaikan, para malaikat turut mengaminkan doa kita dan berdoa kita juga mendapat kebaikan yang sama.

Cara hadiahkan al-fatihah kepada mereka yang masih hidup atau meningggal dunia


1. Menadah tangan dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh.


''Ya Allah, Al-Fatihah ini aku hadiahkan untuk Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda, orang-orang yang soleh, para syuhadah, kepada ahli ulamak, kepada guru-guru ku, kepada pemimpin-pemimpin, kepada seluruh muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat sama ada yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia, kepada diri sendiri dan juga kepada kedua ibu bapa ku''.


2.  Baca al-fatihah dengan tenang, tertib dan dengan makhraj yang betul.


Kesimpulan

Surah Al-Fatihah adalah ummu kitab, surah yang paling agung di dalam Al-Quran dan merupakan ibu segala doa dan penawar seluruh permasalahan. 

Bacalah Al-Fatihah dengan tertib dan sempurna serta fahami dan hayati maksud setiap ayat. Hanya tujuh ayat. Anak-anak yang masih kecil pun dah boleh hafal maksud surah al-fatihah ni. Surah Al Fatihah adalah rukun di dalam solat. Lompong Al-Fatihah maka lomponglah solat kita.

Jadikan kebiasaan membaca Al-Fatihah setiap kali selepas solat dan sebelum tidur. Sedekahkah Al-Fatihah untuk diri sendiri, anak-anak, kedua ibu bapa dan seluruh muslimin dan muslimat.

Sama-sama kita istiqomah.



Yaya Azura

Yaya | Blogger Since 2010 | Email : yayaazura82@gmail.com

1 Comments

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

Post a Comment
Previous Post Next Post