Ayam Masak Lemak Cili Padi Campur Belimbing Buluh

Ayam Masak Lemak Cili Padi Campur Belimbing Buluh | Alhamdulillah untuk segala rezeki. Petang tadi keluar je dari pintu lif pejabat, terasa nak menjenguk pokok belimbing buluh. Sedang berbuah lebat rupanya. Petiklah dalam segenggam bawa balik ke rumah. Kebiasaannya akan gugur ke tanah macam tu je. Jarang-jarang sekali ada yang memetik.

Dalam perjalanan berkira-kira nak masak apa dengan belimbing buluh ni. Buat sambal pun sedap. Tapi nanti kena buat lauk berkuah lain pula. Petang-petang balik kerja kalau boleh tak nak berlama-lamaan di dapur. Sekejapan saja nanti dah masuk waktu solat Maghrib.

Jadinya, bila tengok cili padi Vietnam masih banyak dalam peti ais terlintas lah nak sediakan ayam masak lemak cili padi. Lauk yang sangat mudah disediakan. Cili padi Vietnam ni orang pasar kata lagi pedas berbanding cili padi biasa. Dulu selalu juga beli cili padi biasa tapi terkena yang tak pedas. Semenjak tu kalau nampak ada cili padi Vietnam memang pilih yang ini. Jadi tak boleh letak banyak, kesian anak-anak nanti tak tahan pedas. 

Ayam Masak Lemak Cili Padi Belimbing Buluh


Resipi Ayam Masak Lemak Cili Padi Campur Belimbing Buluh

Bahan-bahan:

  • 1/2 kg ayam
  • 1 kotak kecil santan
  • 2 batang serai - diketuk
  • 2 biji kentang
  • Daun kunyit - tak ada stok, yaya letak daun  limau purut
  • 1 asam keping - kali ni tak letak sebab belimbing dah masam
  • Belimbing buluh - pilihan
  • 2 cawan air
  • Sedikit minyak masak
  • Sedikit garam / perasa 

Bahan kisar:

  • 1 biji bawang besar
  • 2 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 5 biji cili padi - boleh tambah kalau nak extra pedas
  • 1 inci kunyit

Cara-cara memasak ayam masak lemak cili padi:

  1. Panaskan periuk, masukkan minyak masak.
  2. Masak bahan kisar dan serai sehingga sedikit pekat (air berkurang) dan bawang betul-betul masak.
  3. Masukkan ayam dan kentang. Masak dengan api sederhana. Tutup periuk lebih kurang 10 minit sehingga ayam dan kentang empuk.
  4. Masukkan air, santan, daun kunyit dan asam keping. 
  5. Perasakan dengan garam.
  6. Sedia untuk dihidang.

Mudah je kan. Banyak versi sebenarnya resipi masak lemak cili padi ni. Negeri Sembilan punya resepi tak letak bawang, tapi  Yaya letak je sebab dah terbiasa tengok mak masak letak bawang. Hihi. Yaya guna juga sedikit minyak sebelum menumis bahan kisar sebabnya guna ayam bahagian dada sahaja tak ada lemak. Tak nak letak minyak pun boleh, lagi sihat. Terpulang pada citrasa masing-masing. Kita yang buat dia. Gitu kaedahnya..hihi..

Selamat mencuba.


Yaya Azura

Yaya | Blogger Since 2010 | Email : yayaazura82@gmail.com

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post