Resepi Keropok Lekor Terengganu - Langkah Demi Langkah

Resepi Keropok Lekor Terengganu - Langkah Demi Langkah | Banyak hari dah tak jejak tanah. Hari ni PKPD hari yang ke-11. Bila dah duduk rumah ni mula lah rasa nak makan itu ini. Ni rasa nak makan keropok lekor pula. Gigih cari resepi, kut ler terajin nak buat sendiri.

Keropok Lekor Terengganu ni sebenarnya banyak yang sedap-sedap. Antara yang terkenal dan menjadi tumpuan ialah keropok lekor di  Losong dan keropok lekor di  Bukit Tok Beng. Kawasan lain pun tak kalah juga sedap sebenarnya. Di daerah Marang, Setiu Dan Kemaman pun ramai yang berniaga keropok. Pendek kata memang tak susah nak cari keropok yang sedap kalau datang ke Terengganu.

Teringat Yaya pernah ternampak gerai menjual keropok lekor taapi bukan di Terengganu. Peniaga tersebut labelkan keropok rebus sebagai keropok Losong. Ramai yang salah faham, Losong tu nama tempat di mana keropok tu dihasilkan. Bukan nama sejenis keropok. Di Losong memang terkenal dengan gelaran Perkampungan Keropok Lekor. Di sepanjang kiri dan kanan jalan ada pelbagai pilihan gerai keropok. Kalau musim cuti, bas rombongan memang berderet lah disepanjang jalan.

Yaya nak kongsikan resepi membuat keropok lekor Terengganu langkah demi langkah. perkongsian dari Facebook Masakan Terengganu ni Yaya dah olah gaya penulisan. Yang asal menggunakan loghat Ganu kiter. Kan tercengang pulak orang luar Terengganu nak fahamkan.


Resepi Keropok Lekor Terengganu

Kredit resepi: Ku Azni Ku Ahmad (Facebook Masakan Terengganu)

Bahan-bahan:
  • 20 ekor isi ikan pelaling / anak ikan kembung
  • Air limau kasturi/limau nipis - Buang biji supaya senang nak bilas ikan
  • 2-3 sudu makan tepung sagu separuh kering
  • 2 sudu kfc garam


Cara-cara penyediaan keropok lekor Terengganu

Keropok Lekor Terengganu

  1. Potong kepala ikan dan ekor. Buang isi perut.
  2. Kemudian kerat sisik kiri dan kanan, pakai pisau boleh nak guna gunting pun boleh.
  3. Dengan menggunakan hujung pisau, siat kulit ikan.
  4. Keluarkan isi ikan dengan hujung pisau. Kalau reti guna jari pun ok.

Keropok Lekor Sedap

5. Rendam sekejap isi ikan tadi dengan air limau kasturi/limau nipis. Tujuannya untuk hilangkan bau hanyir ikan.
6. Sejatkan isi ikan guna penapis.
7. Tumbuk isi ikan. Nak guna food processor pun boleh.
8. Masukkan 2-3 sudu makan tepung sagu separuh kering. Jangan terlebih letak nanti keropok jadi keras.
9. Masukkan 2 sudu kfc garam, rasa sikit dengan hujung lidah..kalau dah ok..sambung tumbuk.
10. Tumbuk sehingga lumat.


Cara membuat Keropok Lekor Terengganu

11. Tabur tepung sagu di bahagian belakang dulang.
12. Kepal-kepal dengan tangan isi ikan tadi, bulatkan.
13. Gentel isi ikan menggunakan kedua-dua telapak tangan. (sekiranya semasa proses menggetel isi ikan tu pecah-pecah, kepal lagi isi ikan tu bagi padat..lepas tu hempuk-hempuk sikit pada dulang tu.
14. Dapat 8 batang keropok lekor. Saiz ni besar sedikit berbanding yang dijual dikedai. Kalau buat saiz kecil dapat lah banyak.

Resepi Keropok Lekor Terengganu

15. Panaskan air. Tunggu sehingga air mendidih. kemudian masukkan keropok yang digentel tadi.
16. Sekiranya keropok dah timbul maknanya dah masak.
17. Keropok lekor rebus sedia untuk dihidang.


Tips dari Yaya : 
1) Nak guna isi ikan selayang pun sedap. 
2) Selepas tumbuk atau blend, letak beberapa ketul ais, tak perlu banyak, cukup sekadar untuk menyejukkan isi ikan. Nanti keropok akan jadi lebih rangup bila digoreng.
3) Untuk langkah 5 boleh skip kalau dah rendam ikan dengan air asam jawa semasa proses membersih ikan.

Keropok lekor ni sedap makan panas-panas. Samaada yang rebus atau pun yang digoreng dua-dua feveret Yaya. Teringat pula [makan celup tepung]. Lamanya tak keluar makan goreng-goreng kat kedai. 

Dah tahu buat keropok, mesti kena pandai juga buat sos keropok. Orang Terengganu tak panggil 'sos' tapi ada nama lain iaitu 'air lada'. Hanya 5 bahan sahaja yang diperlukan dan nak membuatnya pun tersangatlah mudah.

Resepi Sos Keropok Terengganu

Bahan-bahan:

  • 3 sudu makan cili boh
  • 2 sudu makan cuka
  • 2 sudu makan gula
  • Sedikit nisan kerek / gula melaka
  • Secubit garam 

Cara-cara penyediaan sos keropok Terengganu

  1. Masak cili boh dengan api perlahan. Pastikan cili betul-betul masak.
  2. Kemudian masukkan cuka, gula. Kacau sebati.
  3. Masukkan nisan kerek. Tujuannya untuk dapatkan warna yang sedikit gelap.
  4. Perasakan dengan garam. Siap
Kalau nampak pekat boleh tambah sedikit air. Resepi di atas tu untuk kuantiti semangkuk kecil sos sahaja. Nak banyak boleh gandakan resepi. 

Kalau guna cili kering, rebus cili sehingga betul-betul masak. Kisar cili bersama air dan kemudian tapis. Biji-biji cili tu tak nak. Lepas tu baru ikut seperti langkah-langkah kat atas tu.

Sebelum terlupa, tepung sagu boleh digantikan dengan tepung ubi. Tapi hasilnya tak sama dan keropok jadi sedikit keras. Tepung sagu tu boleh beli online. Di Shopee ada jual.

Tepung Sagu


Selepas ni boleh lah cuba buat sendiri keropok lekor Terengganu dan sos keropok. Baru puas hati dapat makan keropok yang lebih isi ikan dan lembut.  Selamat mencuba.



Yaya Azura

Yaya | Blogger Since 2010 | Email : yayaazura82@gmail.com

7 Comments

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

  1. Sedapnya boleh simpan stok banyak-banyak.

    ReplyDelete
  2. thanks share resepi.
    ada masa nak try belajar buat sendiri.

    ReplyDelete
  3. Nak try juga nnt belajar buat sendiri.

    ReplyDelete
  4. Tak pernah lagi masak lekor.. hari tu pernah nampak org jual keropok lekor terengganu.. rugi pula tak beli

    ReplyDelete
  5. Sedapnya keropok lekor! Dulu pernah buat beberapa kali, tapi sekarang malaslah pulak.

    ReplyDelete
  6. adui rajinnya buat .... tapi mesti sedap sbb home made

    ReplyDelete
Post a Comment
Previous Post Next Post